Khamis, 28 Mei 2009

Update 2: jemaah umrah

4:28 PM (Saudi) 28 May 2009.
Ketika blog ini ditulis, kami baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi, juga baru selesai solat jenazah ummat yang dipilih Allah utk kembali ke rahmatulLah di Madinah dekat dengan Nabi, dekat dengan para sahabat, dibumi yang penuh dengan barokah. Alangkah bertuah dan berbahagianya mereka.

Kami tiba di Jeddah sekitar jam 6:45 ptg (Saudi) 27hb May, dan seperti yang sedia maklum, urusan di Lapangan Terbang Jeddah mengambil masa yang agak lama. Dengan jemaah yang ramai, maklumlah cuti sekolah. Apatah lagi dengan sistem baru yang diperkenalkan Kerajaan Saudi, telah menambah lagi masa proses dokumentasi. Jemaah sempat 'berkelah' dengan penuh berselera di tepi bas, di kawasan letak kereta sambil menunggu urusan dokumentasi diselesaikan. Alhamdulilah, kita bersyukur kerana Allah sentiasa membantu memudahkan urusan kita.
KLIK: album jemaah umrah 2

Perjalanan diteruskan ke Madinah dengan hati yang penuh dengan kerinduan kepada Rasul tercinta. Jemaah yang keletihan setelah seharian menempuh perjalanan, tidur nyenyak tanpa menyedari masa perjalanan yang dilalui. Berhenti untuk solat suboh di R&R, terasa seperti berada di Malaysia kerana ramainya jemaah dari Malaysia yang turut berhenti untuk solat di situ.

Akhirnya kami menjejakkan kaki di Tanah Haram Madinah sekitar jam 7 pagi. Sarapan telah tersedia dan masing-masing mendapat kunci bilik penginapan. Hotel yang ditempah, Badr Alawwal berada di hadapan Baqi' dan begitu hampir dengan Masjid. Sememangnya akan memudahkan urusan kerja-kerja ibadah para peserta umrah. Pemandangan Masjidil Haram dari tingkap bilik begitu menyentuh jiwa yang memandang. Cikgu Murad yang telah beberapa hari menginap di situ menyambut kami dengan gembira. (beliau membuat tempahan umrah Free & Easy dari HPA Ilham Holidays)

Setelah bersih diri, sekitar jam 8, jemaah dibawa untuk menziarahi Maqam Rasul yang dikasihi. Rasa kesyahduan menebal dijiwa, tidak tertahan air mata yang mengalir ketika berdiri dihadapan maqam nabi tercinta. Perasaan kasih dan cinta seperti tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Salaam diucapkan bersama iringan salam para sahabat dan pejuang HPA yang dititipkan kepada baginda. Alhamdulillah, jemaah dapat mengerjakan solat sunat di Raudhah dan kepuasan bercampur kesyahduan jelas terpancar di wajah-wajah mereka.

Pagi tadi telah mendapat sms dari Ustaz Khairul Anuar menyatakan kumpulan kedua umrah telah berlepas dari KLIA menuju Jeddah. Mereka dijangka tiba pada jam 7 mlm ini untuk bersama-sama dengan jemaah umrah pertama, InsyaAllah.

1 ulasan:

  1. Syukran, kerana izinkan saya jadi pengikut...saya dah pun mendaftar sebagai ahli HPA. Dan tahniah juga untuk info-info dari blog yang sungguh menarik...khususnya gambar-gambar tanah suci...membangkitkan kerinduan saya terhadap al-haramain...moga-moga Allah menjemput saya lagi....

    BalasPadam